Apa itu berita? Menurut Kamus Dewan ( 1992 ), berita boleh didefinisikan sebagai suatu maklumat mengenai kejadian yang disampaikan ( sama ada secara lisan atau dengan surat ). Namun, bagi Asep Setiawan, wartawan di London percaya bahawa berita lahir dari tangan penulis bukan dari peristiwa. Ini kerana banyak peristiwa yang berlaku tetapi tidak semua boleh dijadikan berita. Walau apapun tafsiran berita, samada dari konteks media massa mahupun dari mata seorang wartawan, elemen yang paling penting ialah memastikan setiap maklumat dari berita itu baru, menarik dan juga sahih.
Dahulu, medium utama penyebarkan berita ialah melalui akhbar. Akhbar pertama wujud di Belanda pada tahun 1600. Akhbar pada mulanya digunakan untuk membangkitkan semangat patriotisme dan merupakan medium terbesar penyebaran ilmu. Peranan akhbar berkembang dan mula dilihat sebagai medium utama untuk rakyat menyuarakan pendapat, membongkar rahsia propaganda (yellow jounalism) dan membantu kerajaan dalam pentadbiran yang lebih efisien. Pada tahun 1970, lebih 55 juta akhbar di jual setiap hari di Amerika. Ini membuktikan bahawa akhbar merupakan suatu medium utama dalam pembangunan sosial.
Dunia telah mengalami satu pertumbuhan teknologi yang pesat dan antara hasil pertumbuhan teknologi ialah teknologi internet. Teknologi internet telah dibangunkan dan pada sekitar 1990-an, internet telah diperkenalkan di serata dunia. Kini, internet melambangkan penyebaran informasi dan data tanpa sempadan. Dalam aspek penyebaran berita, tidak dinafikan internet merupakan medium yang paling mudah, cepat dan murah.
Why pay, when you can get for free? Internet mudah diterima dan penggunaannya tersebar dengan sangat meluas kerana satu faktor ini; percuma. Hal ini berjaya menarik minat warga dunia. Tatkala ekonomi dunia merudum dan tidak stabil, tatkala semua harga barang dan harga penerbitan akhbar meningkat, internet mula mendapat tempat di hati pembaca. Statistik menunjukkan hanya 19% rakyat yang berumur 18 hingga 34 tahun membaca akhbar tradisional, berbanding 44% rakyat yang membaca berita dan maklumat dari internet. Bilangan pembaca berita dalam talian semakin meningkat dan perkara ini memberi kesan kepada penjualan akhbar tradisional.
Dengan menggunakan medium internet, peristiwa atau perkara yang baru sahaja terjadi; sekarang, lima minit yang lalu, sepuluh minit yang lalu boleh terus di muat turun ke dalam internet. Maklumat terbaru ini juga boleh terus dikongsi bersama oleh seluruh masyarakt duni dalam sekelip mata sahaja. Perkara ini adalah mustahil untuk akhbar tradisional. Seperti yang kita tahu, akhbar tradisional di cetak setiap hari. Peristiwa yang di laporkan di dalam akhbar berlaku pada hari sebelum akhbar itu disebarkan. Perkara ini memberi ruang kepada pembaca untuk memilih internet sebagai sumber maklumat dan ilmu utama mereka kerana internet memberi maklumat yang pantas.
Internet mempunyai satu kemudahan pencarian maklumat yang mudah. Dengan menaip kata kunci yang kita mahu, semua maklumat yang berpautan akan tersenarai. Contohnya, kata kunci Malaysia. Sebanyak 236,000,000 artikel mengenai Malaysia dalam masa 5 saat dapat dicari oleh enjin pencari maklumat. Selain itu, internet juga mewujudkan komunikasi dua hala; pembaca dengan pengarang dan pembaca dengan pembaca. Kewujudan blog, forum, laman chat memberi ruang kepada pembaca menukar pandangan serta idea. Pembaca juga boleh memberi pendapat terhadap artikel yang dibaca di setiap ruang komen yang disediakan. Berbeza dengan akhbar tradisional, tidak semua berita yang kita mahu ada dicetak di dalamnya. Tambahan pula, akhbar tradisional lebih fokus kepada komunikasi pengarang dengan pembaca berbanding internet yang mempunyai kelebihan komunikasi dua hala.
Walaubagaimana hebatnya internet di mata semua, perkara ini menimbulkan perasaan gusar dari pelbagai pihak. Hal ini timbul kerana maklumat yang dipaparkan di internet kebanyakkannya merupakan berita sensasi (soft news) yang tidak menjana pemikiran pembaca. Selain itu, internet juga di anggap sebagai medium yang hanya mementingkan keuntungan dan penuh dengan propaganda semata - mata. Ini berlaku kerana kesetiaan syarikat terhadap penaja yang merupakan sumber kewangan utama mereka telah mencalarkan imej kewartawanan itu sendiri.
Akhbar tradisional mempunyai nilai klasiknya tersendiri. Memang benar, akhbar tradisional mempunyai kekurangan berbanding berita internet tetapi, akhbar tradisional mempunyai satu garis panduan yang benar dan tulus. Akhbar tradisional telah ‘berkhidmat’ menyatu padukan rakyat setiap masa dan keadaan. Berita yang ditulis di dalam akhbar merupakan perihal negara yang penting (hard news) untuk rakyat berfikir dan meneliti mengenainya. Akhbar tradisional merupakan cermin negara dan bangsa dalam membina negara yang bermaruah dan berdaulat.
Persoalan utama, bolehkah berita dalam talian ( internet ) mengatasi akhbar tradisional? Ya dari segi jumlah pembacaan tetapi tidak kepada kualiti maklumat yang dihidangkan kepada pembaca. Rakyat dan juga generasi yang akan datang harus lebih peka dengan peranan akhbar tradisional dalam pembangunan masyarakat. Adakah generasi akan datang hanya mahu mendengar dan membaca berita sensasi semata – mata? Atau anda tidak pernah ambil pusing mengenainya? Fikirkan.
No comments:
Post a Comment